Thursday, November 01, 2007

Mari Menulis

Jangan salah anggap, sebenarnya aku sikit pun tidak putus asa dalam dunia komik ini cuma aku perlukan masa yang agak panjang kerana komik bukan satu perkara main-main jika aku ingin menceburinya sepenuh masa.

Aku perlukan ilmu komik sepenuhnya, ilmu yang tidak diajar dimana-mana kelas komik atau seminar komik, ilmu yang jarang diperturunkan kerana ianya adalah berkenaan jatidiri kita kepada komik itu sendiri.

Mungkin aku perlukan modal atau investor yang sudi mempertaruhkan modal yang banyak untuk dunia penerbitan komik ini.

Tunggu dan lihat!

Friday, August 24, 2007

Terima Kasih


Dengan ini aku menutup blog AG aku ini kerana tiada membawa apa-apa faedah kepada dunia komik. Lukisan ini menginsafkan aku. Menyedarkan aku, tentang siapa aku sebenarnya. Sememangnya aku tidak layak berkata-kata kerana aku tiada melakukan apa-apa untuk komuniti komik.

Terima kasih kerana menyedarkan aku.

Saturday, August 04, 2007

Syok Sendiri?

Syok sendiri pada pandangan aku biarlah kena pada tempatnya.

Contohnya, jika kita menerbitkan zine atau art zine
sendiri, segala halatuju zine ditentukan oleh kita seorang dan pandangan umum tidak dikira sebagai pandangan majoriti penerbitan sesebuah zine.

Manakala penerbitan majalah sebenar adalah mengikut halatuju syarikat tetapi pandangan umum juga diambil berat kerana jatuh dan bangunnya sesatu majalah adalah bergantung kepada pembaca sepenuhnya.

Syok sendiri di dalam zine dibenarkan kerana kita mengeluarkan duit poket untuk menerbitkannya. Biar apa pun komen orang, jatuh bangun zine kita adalah ditentukan sejauh mana aktifnya kita menjualnya. Sesebuah zine tidak perlu dikira berjaya atau tidak kerana zine tidak merangkumi ruang yang cukup luas untuk ditentu akan kejayaannya.

Zine adalah lakaran peribadi penerbitnya. Zine adalah luahan rasa, ekspresi serta eksploitasi penerbit untuk diwar-warkan kepada dunia luar. Zine adalah lebih kepada peribadi penerbit dan boleh dikatakan sebagai diari penerbit yang ditunjukkan kepada dunia.

Oleh kerana itulah, syok sendiri di dalam zine adalah dibenarkan 100% tetapi tidak di dalam majalah biasa. Majalah biasa adalah perhubungan pelukis atau penulis komik dengan dunia luar. Mana mungkin kita menghasilkan sesuatu yang syok sendiri tanpa memikirkan akan kepentingan pembaca?

Jika pelukis atau penulis komik mementingkan diri mereka sendiri maka jadilah komik itu satu bahan jenaka atau bahan sampingan di dalam sesatu majalah. Kenapa? Jawapannya adalah kerana pembaca atau pembeli sudah muak dan mual dengan komik yang tidak mewakili mana-mana pihak.

Masyarakat pembaca sudah bijak. Mereka tidak mahu lagi membaca komik fantasi kerana mereka sudah ada filem Harry Potter atau Lord of The Rings. Pembaca sudah muak dengan komik pertarungan kerana masyarakat sudah ada Dragon Balls atau Ultraman.

Yang penting disini adalah komunikasi. Jika kita melukis atau menulis komik, kita perlu fikirkan tentang komunikasi kita dengan dunia luar.

Akademi Fantasia berjaya kerana mereka berhubung dengan dunia luar. Majalah Mastika berjaya kerana mereka berhubung dengan dunia luar. Mereka dengan berani mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat ketika ini.

Pembaca mahukan sesuatu yang boleh berkomunikasi dengan mereka. Sesuatu yang betul-betul berlaku dalam dunia mereka. Atau mungkin barangkali sesuatu yang baru, yang belum pernah diterbitkan sebelum ini.

Disinilah peranan kita sebagai penulis komik.

Majalah Salina: Revisited Bahagian Kedua

Arena komik tanahair bukannya ketandusan pelukis komik yang hebat tetapi ketandusan penulis komik yang hebat.

Komik Malaysia suatu ketika dulu cukup gah dengan Penerbitan Mediaseni yang berjaya menerbitkan ratusan komik sepanjang beberapa tahun. Namun begitu diatas kos penerbitan yang semakin meningkat, Mediaseni terpaksa diberhentikan.

Ketika itu siapa tidak kenal Saari AM, Marzuki Yusof, Mansor Ibrahim, Ibrahim Hamid, Rosli Hamid serta ramai lagi. Komik mereka menjadi pujaan dan bacaan ribuan pembaca ketika itu. Kenapa komik mereka berjaya? Persoalan itu yang perlu kita tanya dan fikirkan apakah jawapan yang perlu dicari?

Adakah kerana lukisan komik mereka sahaja yang menarik atau kerana tulisan komik mereka juga menarik?

Pada pendapat aku, komik ketika itu berjaya kerana pelukis komik ketika itu masih lagi mempunyai bakat penulisan yang agak hebat. Komik mereka bukan sahaja menarik dari segi lukisan mereka malah tulisan dan cerita mereka juga.

Contohnya, Marzuki Yusof, anak jati Kelantan yang cukup terkenal dengan komiknya, Jati Tunggal. Komik kepahlawanan yang meniru aksi Conan The Barbarian tetapi digarap dengan cerita dan lokasi tempatan. Cantuman yang berjaya dilukis dan ditulis Marzuki Yusof.

Begitu juga Saari AM yang begitu banyak melukis komik pendekar yang banyak mengekploitasikan masyarakat melayu ketika dahulu. Komik dan tulisannya yang bersahaja cukup berkesan di hati pembaca. Malah, beliau layak digelar bapa komik pendekar Malaysia kerana puluhan komik beliau banyak menggunakan pendekar sebagai watak utama.

Masalah kita pada masa sekarang adalah storytelling. Tukang cerita yang betul-betul berbakat. Tukang cerita yang boleh mengembalikan kegemilangan komik tanahair seperti zaman Mediaseni atau Salina dahulu.

Kalau komik luar mempunyai penulis hebat seperti Brian Michael Bendis atau Mark Millar, kenapa kita tidak boleh memiliki penulis sehebat seperti mereka?

Kenapa kita masih mencuba gaya lama pelukis komik menulis komik pada masa yang sama sedangkan kita tahu keputusannya adalah tidak memberangsangkan?

Lebih malang lagi bila pelukis komik syok sendiri tanpa menyedari komik mereka sebenarnya adalah bahan jenaka pembaca diluar?

Friday, August 03, 2007

Majalah Salina: Revisited

Kerap kali aku mengutarakan akan kelebihan majalah Salina didalam beberapa entri aku sebelum ini. Kenapa Majalah Salina? Kenapa perlu mengambil contoh majalah yang sudah lama berkubur untuk dijadikan sebagai contoh majalah terbaik? Apakah keistimewaan majalah Salina sehingga aku asyik dan sering menyebut perihal majalah ini?

Mari kita kembali ke zaman dimana majalah Salina menjadi pujaan puluhan ribuan pembaca di Malaysia suatu ketika dahulu. Mari pelajari apakah keistimewaan majalah Salina. Mari kita ambil, tiru, stereotyping atau apa sahaja formula yang kita fikir boleh membantu menyuburkan kembali arena komik tanahair.

Persoalannya sekarang, kenapa majalah Salina berjaya pada eranya, pada zamannya? Cuba kita semak kembali apakah menu utama majalah Salina yang menyebabkan seorang pembaca boleh terpikat kepadanya?

Majalah Salina adalah keluaran sulung Raz Studio dan mula diterbitkan pada 70-an dengan barisan pelukis-pelukis komik yang agak hebat. Pada ketika itu siapa tidak kenal Rizalman, Zawawie HO, Sang Arif Budiman, S Zain, Samudra Perwira, S Mohammad dan R Rahimah?

Lukisan merekalah antaranya yang mewarnai majalah Salina sehinggakan digilai ramai pembaca tidak kira lapisan umur dan jantina.

Persoalannya disini, kenapa majalah Salina mampu mendapat tempat?

Cuba perhatikan menu utama majalah Salina. Bukankah komik Salina sendiri yang menjadi komik utama majalah ini? Inilah menu utama majalah sehinggakan mampu bertahan berbelas tahun lamanya. Inilah menu yang tidak mampu diterbitkan oleh kebanyakkan pelukis majalah komik ketika ini. Mereka hanya mampu membuat cerita 'one shot' atau jika bersambung pun hanya 3,4 keluaran dan selepas itu, kehabisan modal.

Jika ada yang mampu bertahan sehingga berpuluh episod pun, jalan cerita menjadi masalah utama siri komik tersebut dimana tiada sambutan kerana pembaca tidak langsung tertarik malah tiada niat untuk mengikuti perkembangan siri komik tersebut.

Inilah yang kerap dilakukan Gempak dan komik-komiknya. Entah apa yang diceritakan sedangkan majoriti pembaca sudah muak dan jemu dengan jalan ceritanya yang asyik berkisar dengan dunia fantasi. Dari dahulu sehingga sekarang, fantasi fantasi fantasi sehingga majalah Fantasi pun diberhentikan.

Arena komik tempatan bukannya ketandusan pelukis-pelukis hebat tetapi yang menjadi masalah utama adalah penulis komik yang cukup kreatif. Kita kekurangan penulis komik yang betul-betul boleh membawa arena komik tempatan ke satu tahap yang boleh dibanggakan seperti zaman majalah Salina dahulu.

Lebih malang lagi apabila pelukis komik sendiri yang melukis dan menulis cerita komik mereka sehingga menjadi bahan syok sendiri yang melampau dan memualkan tekak! Lukisan bukanlah satu isu disini TETAPI isi cerita komik tersebut yang aku persoalkan.

Apa yang aku nampak setakat ini, hanya AIE yang betul-betul mampu menulis cerita dengan baik tetapi malangnya lukisannya lebih berbentuk kartun.

Bahan itulah yang menjadi pokok pangkal kejayaan majalah Salina. Cerita komik Salina yang begitu menghiburkan walaupun mempunyai episod yang panjang meleret tetapi pembaca mudah terhibur dan terus terpikat dengannya.

Ada satu komik cuba menjadikan kisah cinta sebagai menu komik keluaran mereka malangnya, lukisan menjadi masalah besar mereka. Isi cerita amat menarik tetapi lukisannya begitu mengecewakan. Walaupun di terbitkan semula oleh sebuah penerbitan besar, komik tersebut masih lagi gagal kerana tiada apa-apa perubahan langsung yang dilakukan. Sekali lagi komik tersebut gagal!

Inilah menu yang dilupakan oleh kebanyakkan penerbit majalah komik, cerita yang boleh memikat dan menarik pembaca untuk terus membeli majalah mereka.

Begitu juga dengan sebuah penerbitan yang besar. Mereka gagal memanfaatkan kelebihan mereka mempunyai ratusan penulis novel yang terkenal tetapi masih gagal untuk menjadikannya sebagai menu utama majalah komik mereka. Akhirnya majalah itu diberhentikan.

Bukalah mata wahai penerbit majalah sekelian. Galilah sedalam mana untuk mencari bakat penulis komik, renangilah seluas mana lautan pun untuk mencari Alan Moore, Brian K Vaughan atau Brian Azzarello versi Malaysia yang mampu menaikkan arena komik tempatan.

Thursday, August 02, 2007

Apa Yang Perlu Ada Dalam Komik Masakini?

Majalah komik begitu banyak membanjiri pasaran ketika ini dan kemungkinan untuk satu jangkamasa yang agak panjang. Majalah sebegini pada pendapat aku hanyalah picisan kerana pada pendapat aku, majalah komik sudah lama diusahakan oleh keluaran Art Square iaitu melalui Gempak dan yang keduanya Starz.

Pada pendapat aku kedua majalah ini sudah memenuhi atau mencukupi untuk pasaran majalah komik kerana Art Square juga mengeluarkan U-topia, Comic King (untuk pasaran bahasa Cina) dan Hype. Walaupun pada awalnya beberapa majalah tersebut menyelitkan beberapa buah komik namun bagi aku, yang sedia cukup itu, cukuplah!

Sampai berapa majalah komik lagi perlu kita berjumpa atau mengadap di pasaran buat masa ini? Tidak kah penerbit memikirkan akan kehendak hati pembaca? Majalah Starz yang agak tinggi jualannya suatu ketika dahulu pun, semakin merosot. Majalah ini pada awalnya dikeluarkan secara bulanan, setelah mendapat sambutan, majalah ini dikeluarkan 2 kali sebulan tetapi sehingga sekarang keluarannya dihadkan kepada sebulan sekali. Kenapa?

Pada pendapat aku mungkin pembaca Starz sudah muak dengan Starz kerana asyik memaparkan berita-berita manga sedangkan Astro baru sahaja melancarkan saingan terbaru mereka, saluran Animax, Channel 25. Dengan adanya siaran Animax itu, aku nampak sambutan kepada majalah Starz semakin berkurangan kerana maklumat yang diperlukan bukan sahaja boleh didapat di dalam Starz malah pembaca juga boleh mendapatinya di saluran Animax dan World Wide Web.

Pembaca sekarang sudah bijak dan dengan adanya broadband yang boleh diakses di mana sahaja, majalah Starz terpaksa menerima hakikat bahawa majalah komik mereka sudah ketinggalan zaman. Pernahkah kita terfikir, kenapa perlu membelanjakan duit setiap bulan untuk membeli majalah sedangkan dengan hanya RM77 sebulan kita boleh mendapat jutaan maklumat terkini mengenai manga atau anime dengan hanya melanggani streamyx atau dengan menonton saluran Animax?

Pada pendapat aku, majalah Starz atau majalah-majalah lain yang ingin mengekalkan konsep majalah komik mereka, perlu berfikir berjuta kali, adakah mereka boleh menandingi maklumat yang ada di dalam WWW?

Oleh sebab itu penerbit perlu bijak memikirkan sesuatu atau membuat sesuatu yang tiada di dalam WWW.

Sememangnya semua benda ada di dalam WWW tetapi bagaimana kita boleh mencuri tumpuan pencari maklumat ini? Bagaimana kita boleh menarik mereka membeli majalah kita?

Apa yang aku maksudkan di sini adalah komik kita. Komik yang mewakili apa yang ada di dalam masyarakat kita ketika ini. Apa ada dengan masyarakat kita? Apakah yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita? Adakah fantasi? Adakah kisah pengumpul kad, misalnya? Adakah kisah pertarungan hebat seperti Dragon Ball kameha kameha?

Persoalan ini yang perlu kita fikir dan jawapannyalah yang perlu kita wujudkan di dalam komik kita buat tika dan saat ini. Pembaca dahagakan sesuatu yang benar-benar berlaku di dalam masyarakat. Bagaimana kita mengambarkannya melalui komik?

Cuba kita fikir kenapa majalah Mastika begitu laris dipasaran?

Jawapannya, kerana Mastika memaparkan kisah masyarakat! Benar atau tidak sesuatu berita itu tidak menjadi masalah kerana masyarakat kita mudah percaya dengan perkara-perkara buruk yang sedang berlaku dan mereka ingin mengetahui kenapa perkara sedemikian boleh berlaku dalam masyarakat? Di mana, bagaimana, kenapa dan macam mana?

Maksud aku di sini, tidak semestinya kita perlu melukis komik yang memaparkan keburukan masyarakat kita sahaja. Kenapa tidak dipaparkan sesuatu yang boleh membawa manfaat?

Disinilah peranan pelukis atau penulis komik berusaha untuk memaparkan sesuatu yang membawa tauladan atau kebaikan. Sesuatu yang boleh memberi inspirasi kepada umum akan kebaikan yang boleh memberi banyak manfaat kepada manusia.

Disinilah terletaknya kreativiti penulis atau pelukis komik. Disinilah kita sebagai penggiat komik perlu berubah dan perlu membawakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada masyarakat. Disinilah kita sebagai penggiat, berubah kepada sesuatu yang 'berpijak di bumi nyata'. Sesuatu yang sudah lama berlaku didepan mata apatah lagi di dalam komuniti masyarakat kita.

Pembaca sudah muak dengan kisah fantasi, kisah percintaan atau kisah pertarungan kerana di dalam WWW atau TV atau filem, perkara sebegini sudah terlalu banyak. Pembaca mahukan sesuatu yang benar, sesuatu yang betul-betul berlaku dan berupaya menyentuh hati mereka!

Cuba kita fikir kenapa rancangan realiti hiburan begitu mendapat sambutan?

Renung-renungkanlah!

Wednesday, June 27, 2007

Filem Adaptasi Komik Superhero

Filem adaptasi memang sudah lama menjadi salah satu punca Hollywood memasarkan filem-filem mereka. Malah sejak kebelakangan ini, filem adaptasi seolah-olah menjadi bahan utama pembuat filem-filem Hollywood. Adaptasi dari novel, cerita pendek, kisah benar, sejarah memang banyak dijadikan filem dan yang paling hangat sekarang adalah filem adaptasi komik superhero.

Marvel merupakan pembikin pertama file superhero dimana filem Captain America adalah filem adaptasi komik superhero pertama dikeluarkan pada tahun 1944 diikuti oleh filem Dr Strange pada tahun 1978 manakala filem Superman adalah merupakan filem adaptasi komik superhero yang pertama dikeluarkan oleh DC pada 1978 dan diikuti oleh filem adaptasi komik Batman lakonan Micahel Keaton pada tahun 1989.

Filem Captain America seterusnya dijadikan mangsa adaptasi sebanyak 2 kali pada tahun 1979 dengan tajuk Captain America dan Captain America 2: Death To Soon.

DC kembali mengganas dengan filem adaptasi superheronya, iaitu Superman 2 pada tahun 1980 dan The Swamp Thing pada tahun 1982 dan. Seterusnya DC mendominasi filem adaptasi komik superhero ini dengan filem Superman 3 dan Supergirl pada tahun 1983 dan 1984.

Memandangkan sambutan kepada genre filem-filem superhero ini, DC sekali lagi mendominasi filem adaptasi komik superhero dengan filem Superman 4 (1986), The Return of Swamp Thing (1989) dan Batman (1989). Hanya pada tahun yang sama iaitu 1989, Marvel mengeluarkan filem adaptasi komik superheronya iaitu The Punisher lakonan Dolph Lundgren.

Filem Captain America sekali lagi menjadi mangsa adaptasi dan dikeluarkan untuk kali yang ke-4 pada tahun 1991. Malangnya filem ini dikeluarkan sebagai telefilem dan filem ini kurang mendapat sambutan.

DC terus mengganas dengan filem adaptasi seterusnya iaitu Batman Returns pada tahun 1992, Batman Forever (1995), Batman and Robin (1997) dan Steel (1997).

Pada tahun 1996 filem Phantom juga dihasilkan berdasarkan komik strip yang disiarkan di dalam suratkhabar.


Setelah lama menyepi dengan filem adaptasi komik superheronya, Marvel tampil dengan filem Blade lakonan Wesley Snipes pada tahun 1998 dan filem X-Men pada tahun 2000. Seterusnya pada tahun 2002, Marvel mengeluarkan filem Blade 2 dan Spiderman lakonan Tobey MaGuire yang ketika itu merupakan filem pertama adaptasi komik superhero yang mendapat kutipan tertinggi pada hari pertama tayangannya di pawagam.

Pada tahun 2003, DC kembali dengan filem adaptasi komik superheronya dengan filem LXG – League of Extraordinary Gentlemen dan Marvel kembali dengan filem Daredevil, X2:X-Men United dan Hulk.

Pada tahun 2004, DC kembali dengan Catwoman lakonan Halle Berry yang mengecewakan dan Marvel dengan ganasnya mengeluarkan 3 komik adaptasi superhero dengan filem The Punisher, Spider-man 2 dan Blade:Trinity.

Pada tahun 2005, telefilem Man-Thing dikeluarkan oleh Marvel dan DC kembali dengan Constantine lakonan Keanu Reeves dan Batman Begins lakonan Christian Bale pada tahun yang sama.

Marvel juga mengeluarkan 2 lagi filem adaptasi komik superheronya iaitu Elektra lakonan Jennifer Garner dan Fantastic Four lakonan Jessica Alba, Ian Gruffud, Chris Evans, Michael Chiklis dan Julian McMahon pada tahun 2005.

Pada tahun 2006, DC dan Marvel masing-masing kembali dengan filem-filem adaptasi komik superhero, V for Vendetta dan Superman Returns untuk DC dan X-Men: The Last Stand untuk Marvel.

Untuk tahun 2007 ini kita dihidangkan dengan Ghostrider lakonan hambar Nicholas Cage, Spider-man 3 dan Fantastic Four: The Rise of The Silver Surfer keluaran Marvel sementara DC menyepi sementara untuk menunggu filem terbaru Batman, The Dark Knight dikeluarkan pada tahun 2008 nanti.

Marvel juga bakal mengeluarkan filem adaptasi superheronya dimana filem Iron Man lakonan Robert Downey Jr dan The Incredible Hulk lakonan Edward Norton bakal menyusul pada tahun 2008.

Banyak lagi filem adaptasi komik superhero yang bakal keluar namun saya rasa cukup setakat 2008 dahulu untuk menunggu filem-filem superhero pujaan kita.























Tuesday, June 26, 2007

Anime Fest - Taylor's College 30 Jun 2007

Bagi sesiapa yang meminati Anime bolehlah menyertai Anime Fest yang bakal diadakan pada 30hb Jun ini di Taylor's College. Sila rujuk poster untuk keterangan lanjut.

MSC Digital Comic Design Competition 2007


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh

MSC sekarang sedang mengadakan pertandingan Digital Comic Design 2007 dan tarikh tutup penyertaan adalah 12 july 2007.

Aku melihat ini sebagai satu peluang untuk meneruskan minat aku dalam bidang penulisan komik dimana sekarang ni aku ada banyak skrip untuk komik yang sudah siap dan yang dalam perancangan.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan juga amat lumayan. 10 hadiah utama bernilai RM15,000 akan diberikan kepada pemenang untuk bahagian profesional dan 5 hadiah bernilai RM10,000 setiap satu akan diberikan kepada pemenang untuk bahagian amatur.

Hadiah sebesar itu untuk melukis komik adalah sesuatu yang sepatutnya tidak dilepaskan begitu sahaja. Bukan mudah untuk MSC menganjurkan pertandingan melukis komik dengan hadiah yang begitu lumayan, jadi guys, don't miss it!

More details: http://cmc.msc.com.my/ipcc/IPCCComic.html

Tuesday, June 12, 2007

Kepuasan?

Avant Garde bakal keluar dengan isu terbaru dalam masa terdekat ini. Mungkin tidak lama lagi AG akan mempunyai residen artis komik sendiri, pelukis komik yang akan melukis komik-komik untuk zine AG.

Perkembangan ini sesungguhnya menaikkan semangat aku untuk terus membuat zine yang selama ni terbantut bulan demi bulan. Lagipun Flea Market di Amcorp Mall tempohari agak memberangsangkan walaupun booth di tingkat 2, crowd di situ memuaskan hati aku untuk terus stay lagi.

Cakap pasal puas ni, aku ingat nak share atau bagi komen skit la pasal puas ni, atau pasal kepuasan atau kepuasan dalam berkarya.

Dalam konteks aku, terbit zine sendiri, aku rasa cukup-cukup puas hati sebab halatuju zine AG ditentukan aku sendiri. Orang hanya boleh komen, complaint dan kutuk tetapi keputusan ditangan aku. Aku nak ikut ke tak, itu aku punya pasal, zine aku, orang beli tu nombor dua, yang pertama sekali, aku puas hati sebab dapat buat apa yang aku nak.

Buruk ke tak, itu aku tak perlu risau sebab selera aku memang tak sama dengan orang but still ada juga follower zine AG ni. For example, aku ada notice dulu beberapa pembeli setia AG di Laman Seni. One of them is an old man, around mid 50, i think he's a prof somewhere in IPTA.

Kira dia ni macam regular buyer la sebab dia akan sentiasa tanya: "Ada zine baru tak?"

One thing pasal buat zine ni, kepuasaan kau makin lama makin bertambah dan hasil seni kita yang tidak seberapa dibeli dan dibaca orang. Depan mata kita sendiri, orang tu datang dan beli setiap bulan. Kenapa dia keep buying AG? May be he like to read it or may be he wants to collect it.

Tak kisah la dia nak buat apa pun dengan zine aku, but one thing, aku puas hati. Kepuasan dalam berkarya mencapai tahap klimaks, no premature ejaculation. Aku puas!

Boleh puas ke kalau kita berkarya tapi asyik ikut selera dan telunjuk orang? Sampai bila kita nak ikut telunjuk orang? Buat la something. Kalau kau cari rezeki dengan melukis komik, kena ikut cakap boss, buatlah something untuk balancekan matlamat kau.

Buatlah zine, kasi orang tengok apa sebenarnya yang kau suka dan tidak. Show them who you really are. Jangan just nak blame management kalau komik syarikat kau tak best atau color tak best.

Stop blaming management! Kau yang malas nak buat something atau defend artwork ko, macam mana boss kau nak dengar? Atau apa yang kau jelaskan pada boss kau masih tidak mencukupi dan memuaskan hati dia. Maknanya kita lemah, kurang membaca dan no knwoledge, sorry to say. But the thing is, you got nothing!

In that case, kau kena buat zine untuk tunjukkan selera, kesukaan dan minat kau. Tanpa zine, kau akan tenggelam dalam dunia material yang hanya akan melemahkan kau untuk memperjuangkan komik.

Kepuasan sebenar adalah dalam menerbitkan zine. Zine itu adalah diri kau, jiwa kau dan diri kau yang sebenarnya. Puas hati tak kalau dapat buat apa yang kau amat suka untuk ditunjukkan kepada orang?

Apa yang ingin diperjuangkan kalau kita sendiri asyik buat ikut selera/arahan/telunjuk orang? Setakat lukis komik, semua orang yang lukis komik boleh buat tetapi kau puas hati ke?

Puas hati sebab komik kau diterbitkan? Puas hati karya dibeli orang? Bila orang komen artwork, color tak best, storyline lemah, salahkan management? Heh!

Atau masih dengan mentaliti; "Kau cakap je pandai, aku lukis komik gak, kau?"

Masalah!

Tuesday, May 29, 2007

Street Fighter


Keterangan Produk
Penulis: Ken-Siu Chong
Pelukis: Alvin Lee, Arnold Tsang, Long Vo, noi Sackda, Rob Ross, Alan Tam & Andrew Hou
Kandungan Mukasurat: 144 pages
Bahasa: English
ISBN-10: 0973865202
ISBN-13: 978-0973865202
Saiz Produk: 8.2 x 5.5 x 0.5 inci
Reviu Pembaca: 3.5/5 based on 8 reviu

Tiada maklumat lanjut tentang penulis, Ken-Siu Chong dan pelukis-pelukisnya. Ternyata Devil's Due berani mempertaruhkan mereka untuk menghasilkan komik yang amat fenomena satu ketika dahulu sehinggalah sekarang iaitu, Street Fighter. Hasilnya tidaklah begitu mengecewakan dan lukisan serta warna adalah begitu menarik. Street Fighter yang mempunyai versinya yang tersendiri.

Apa yang agak mengecewakan tentang komik ini adalah saiznya, begitu kecil untuk kita menikmati aksi-aksi pertarungan seolah saiznya tidak begitu sesuai dengan Street Fighter yang amat terkenal dengan aksi pertarungan samada di dalam permainan video atau TV. Komik usahasama Devil's Due dan Udon Entertainment ini perlu diberi saiz yang lebih besar dan muka hadapan yang lebih tebal.

Tiada banyak yang dapat diceritakan disini kerana aku baru membaca vol 1 dan vol 2 dan 3 masih belum dimiliki. Aku akan membuat reviu komik ini apabila aku sudah membaca vol 2 dan vol 3. Apa pun setakat ini apa yang dapat aku perkatakan ialah, ianya menghiburkan untuk komik aksi seperti Street Fighter.

Mencari Idea

Aku suka menonton banyak siri TV yang banyak dan boleh mengembangkan idea aku sebagai seorang penulis skrip komik amatur. Aku juga suka membaca komik lama dan baru untuk mendalami ilmu penulisan komik dari penulis komik lama dan baru. Aku ingin mengetahui serta mempelajari banyak aspek penulisan komik melalui komik yang aku baca.

Semua orang tahu, membaca banyak membantu memperbaiki nahu dan gaya bahasa kita. Apabila kita banyak membaca buku-buku inggeris, kita akan dapat memperbaiki sebutan dan percakapan kita didalam bahasa inggeris. Begitu juga jika kita memperbanyakkan bahan bacaan didalam bahasa melayu. Mungkin tidak akan menjadi pakar bahasa atau profesor tetapi aku rasa cukup untuk memperbaiki nahu dan gaya bahasa kita.

Membaca banyak membantu kita untuk menulis dan atas maksud itu aku menulis walaupun aku tahu banyak perkara yang perlu aku pelajari namun perbezaannya dapat aku rasakan. Nahu dan gaya bahasa aku dahulu tidaklah seperti sekarang, nahu bahasa aku tidak kaya dan aku jarang dapat mengolah ayat dengan baik. Mungkin satu hari nanti aku boleh menulis novel untuk memperkembangkan bakat aku dalam bidang penulisan dan siapa tahu aku boleh menghasilkan sesuatu yang mengagumkan.

Mencari idea adalah satu perkara atau perbuatan yang universal. Maksud aku disini ialah tiada pengkhususan bagaimana untuk mencari idea. Banyak perkara yang boleh kita gunakan untuk mencari idea.Didalam tulisan aku tahun lepas, aku ada menulis 4 bahagian berkenaan 'Bagaimana Menjana Idea?'. Aku memberi contoh bagaimanakah cara-cara yang boleh membantu kita menjana atau mencari idea. Salah satunya adalah menonton TV atau filem.

Umum mengetahui menonton TV atau filem banyak membantu kita meluaskan pandangan serta minda kita. Dengan menonton kita akan dapat mempelajari banyak aspek tentang budaya sesuatu bangsa contohnya. Dengan menonton kita boleh menjana idea kita untuk menulis sesuatu samada menulis sebuah novel atau skrip komik atau lakonlayar TV. Bagi aku menonton banyak membantu aku menjana idea kerana dengan menonton aku dapat mendalami visi penulis dan pengarah setiap drama yang aku tontoni.

Aku suka menonton filem dan siri TV yang popular seperti 24, Lost, Heroes, Jericho, The Dresden Files, Painkiller Jane, Hotel Babylon, Bones, CSI, Supernatural dan banyak lagi. Hotel Babylon contohnya banyak membuka minda aku tentang kehidupan seharian pekerja disebuah hotel dari pengarah urusan, pengurus, penyambut tetamu kepada tukang cuci. Banyak yang boleh dipelajari melalui siri TV Hotel Babylon ini. Begitu juga dengan siri Supernatural, aku boleh mempelajari tentang budaya orang Amerika dan pandangan mereka tentang hantu atau syaitan. Bagaimana mereka menghadapi dan menyelesaikannya adalah sesuatu yang agak unik.

Pendek kata, banyak menonton meluaskan pandangan kita terhadap satu-satu tempat dan orang di sekelilingnya. Begitu juga ianya dapat membantu kita mempelajari banyak perkara dan aspek sesatu bangsa dan amalan mereka untuk dijadikan sebagai landasan kita untuk bekarya. Disamping keseronokan dan hiburan ianya juga dapat menjana idea kita untuk menulis skrip komik atau tidak keterlaluan jika aku mengatakan, sebuah novel?

Saturday, May 26, 2007

Astonishing X-Men Vol 1 (Hardcover)

Keterangan Produk
Kulit Tebal:
320 mukasurat
Penerbit:
Marvel Comics (April 26, 2006)
Penulis: Joss Whedon (Buffy, Angel)
Pelukis: John Cassaday
Bahasa: English
ISBN-10:
0785117334
ISBN-13:
978-0785117339
Saiz Produk:
11.3 x 7.6 x 0.7 inches
Berat Produk: 2.3 pounds
Reviu Pembaca: 4/5 berdasarkan 22 reviu.

Apa yang aku ingat, aku membeli komik ini tahun lepas dan terus membacanya sehingga habis dalam tempoh yang cukup pendek bagi diri aku. Aku tak tahu berapa lama orang boleh habis membaca 300++ mukasurat sebuah komik tetapi bagi aku kalau dalam seminggu, itu sudah dikira cukup pendek.

Joss Whedon memang tidak perlu diperkenalkan lagi kalau anda rajin menonton TV terutama Firefly, Serenity, Buffy The Vampire(Sarah Michelle Gellar; yummy!) & Angel (David Boreanaz). Joss whedon sebenarnya boleh diletakkan sebagai penulis otai untuk TV dan komik dan kenyataan ini dibuktikan dengan tulisan beliau dalam Astonishing X-Men. Apa yang perlu aku katakan dengan Astonishing X-Men ini? Satu persepsi baru tentang X-Men dan keajaiban Joss Whedon mengolah skrip komik ini.

Inilah kali pertama aku membeli komik hasil pena Joss Whedon dan sebelum ini aku hanya biasa menyaksikan buah tangan Joss Whedon dalam Buffy, Angel & Serenity. Aku juga teringin memiliki boxset Firefly jika mempunyai kesempatan untuk membelinya.

Jika dibandingkan siri TV atau filem tulisan Whedon dengan komik beliau ini aku dapat saksikan kesamaan yang cuba diwujudkan oleh Whedon dalam The Astonishing X-Men ini dimana dia amat menekankan aspek kejutan yang mana biasa berlaku di dalam TV atau filem. Di dalam Astonishing X-Men, Whedon mengekalkan kejutan ini dan hasilnya amat membanggakan.

Walaupun Whedon membuat draf untuk 2 babak di dalam filem X-Men dan dia amat tidak berpuas hati dengan Halle Berry yang agak dramatik didalam filem itu, untuk komik ini Whedon melakukan sebaliknya. Totally Whedon is what we can call about this comic or we might say it, Just Joss!

Tiada apa yang perlu dikatakan lagi kerana, tiada ayat atau perkataan yang boleh menggambarkan betapa Whedon berjaya membawa 'suasana' filem ke dalam komik ini dan sesungguhnya komik perlu dimiliki jika ingin melihat visi Joss Whedon.

Thursday, May 24, 2007

Majalah Komik Stereotaip

Sekarang ni aku ada banyak skrip, banyak idea nak buat komik tapi modal jangan cerita la, dari dulu lagi takde duit seketul. Tetapi kalau kita berdikit-dikit aku rasa tiada masalah nak keluar modal RM20 ribu untuk 4,5 isu majalah yang aku nak keluarkan.

Skrip-skrip komik aku tu untuk komik yang panjang. Kalau nak keluar, kena buat macam Trade Paperback (TPB) baru best! Satu je masalah aku, plan aku ok, tapi execution aku kantoi skit. Aku boleh plan nak buat itu, nak buat ini tapi time nak buat tu yang slow skit. Aku boleh create thousands of script or idea but i'm not that good in drawing. Lama dah tak melukis ni biasa la skill semua lari. Tangan pun dah keras, jammed!

Aku ada gak nak plan buat dengan beberapa individu but biasa la masing-masing ada projek sendiri, so, itu yang susahnya nak buat. Tapi kalau kena pada masa dan tempatnya aku rasa satu hari nanti akan muncul seorang hamba Allah yang akan bekerjasama dengan aku untuk terbitkan sebuah majalah komik. Masa dan rezeki belum sampai lagi. Bersabar.

Aku rasa format majalah komik seperti yang ada sekarang sudah tidak releven lagi. Kenapa aku berkata demikian? Kerana tiada benda baru yang hendak ditampilkan selain artikel-artikel berkenaan gadgets yang memenuhi pasaran. Kalau tidak kerana hadiah-hadia peraduan, artikel berkenaan dunia hiburan dan gadgets, majalah-majalah yang ada sekarang sudah pasti tidak akan kekal lama. Tetapi satu sahaja yang aku fikirkan, sampai bila mereka akan kekal dengan format sedemikian? Format yang menjadikan komik sebagai isi sampingan kepada majalah tersebut?

Kenapa komik perlu dijadikan bahan sampingan dalam majalah? Kenapa tidak dijadikan sebagai satu bahan tarikan yang utama? Bahan yang boleh menarik pembaca untuk membeli isu seterusnya. Bahan yang boleh membuatkan pembaca tertunggu-tunggu isu seterusnya dan jika tidak sabar mereka akan melanggan majalah tersebut.

Aku ambil contoh majalah Salina. Walaupun sudah lebih 20 tahun Salina berkubur tetapi bagi aku semangat Salina masih wujud. Format sebegini yang kita perlu dalam menghasilkan majalah komik. Komik bukan bahan sampingan atau bahan untuk mencukupkan majalah tetapi komik adalah bahan utama. Majalah dibeli berdasarkan kepada komik yang ada didalamnya bukan kerana info berkenaan sesatu filem contohnya.

Adakah penulis komik di Malaysia sudah ketandusan idea yang boleh mengembalikan komik tempatan ke era yang lebih gemilang, segemilang era majalah Salina? Adakah format Salina tidak boleh diguna pakai? Dizaman kegemilangannya, majalah Salina mampun menarik ramai pembaca wanita kerana keunikkan komik Salina itu sendiri. Kedua kakak aku, mengikuti perkembangan majalah Salina setiap bulan dengan tekun. Salina dijadikan koleksi penting mereka dan bangga apabila memiliki majalah Salina.

Aku hairan kenapa komik sekarang hanya mampu bertahan sehingga berbelas mukasurat sahaja? Kenapa tidak berpuluh atau beratus mukasurat dan memerlukan berpuluh malah beratus isu majalah berkenaan. Bukankah ia akan menarik lebih ramai pembaca dengan cerita yang lebih panjang dan menarik?

Aku telah membaca beratus komik dan ada yang aku tidak jenguk langsung kerana ceritanya memang merapu atau syok sendiri pelukis komik. Aku cukup-cukup meluat komik yang dihasilkan hanya bergantung kepada lukisannya sahaja sedangkan ceritanya kosong! Sampai bila kita perlu berpegang kepada lukisan yang menarik tanpa ada apa-apa cerita didalam komik tersebut?

Adakah penerbit juga tidak kisah dengan masalah ini dan hanya membiarkan perkara ini berlaku sehingga majalah itu diberhentikan penerbitannya? Atau sehingga penerbit itu merasa bosan dan meninggalkan syarikat tersebut? Atau mungkin kerana matlamat tuan punya syarikat yang hanya mahu mengekalkan keuntungan tanpa memikirkan akan perubahan dan pembaharuan yang lebih menarik?

Setakat menukar rupabentuk majalah tersebut tidak akan membawa majalah tersebut kemana-mana. Mungkin boleh bertahan untuk 1,2 tahun atau kurang dari itu. Dan itulah yang berlaku kepada satu majalah yang aku pernah melangganinya. Dahulu majalah ini dikeluarkan 2 kali sebulan tetapi kini sebulan sekali. Kenapa? Apa yang berlaku? Kurang sambutan? Kenapa kurang sambutan? Apa yang sudah berlaku?

Itulah misterinya disebalik penerbitan majalah dan misteri inilah yang perlu dibongkar untuk menerbitkan sesuatu yang boleh kita banggakan. Sesuatu yang boleh kita kenang dalam 50 tahun kemerdekaan Malaysia bahawa komik di negara kita sudah dievolusikan atau sudah berubah dari stereotaip kepada sesuatu yang membanggakan.

Saturday, May 19, 2007

NYX X23

Mungkin tidak terlalu lambat untuk aku membuat sedikit ulasan mengenai komik Nyx/ X23 ini. Ulasan mengikut citarasa aku yang tidak berapa pandai bermain dengan kata-kata.

Nyx adalah rekaan/tulisan Joe Quesada, editor in chief Marvel yang terbaru disamping Painkiller Jane sebelum ini.

NYX adalah kesenimbungan X-Men dimana munculnya watak-watak baru mutant yang baru mengetahui akan kelebihan mereka serta masalah yang mereka hadapi dalam proses menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Dalam Nyx, watak-watak mereka seperti juga remaja didalam Runaways mengalami masalah demi masalah dalam usaha mereka mencari jawapan sebenar kepada permasalahan mereka.

Cerita ini menarik kerana berjaya menggambarkan emosi dan suasana sebenarnya remaja zaman sekarang yang sentiasa mencari diri walaupun mereka sebenarnya bukan mutant. Aku merujuk kepada remaja zaman sekarang dan bukannya remaja-remaja dalam Nyx atau Runaways.

Sementara X23 pula adalah cerita berkisar tentang seorang remaja perempuan (remaja lagi) yang mana DNAnya diambil dari Wolverine dan menjadikan dia seorang mutant yang lebih hebat dari Wolverine (mengikut saintis yang merekanya). Laura Kinney atau Laura X adalah nama gadis yang dirinya direka dari DNA Wolverine dan diletakkan di dalam rahim wanita bernama Sarah.

Nyx/ X23 adalah dua cerita yang amat menarik dengan garapan yang begitu mempersonakan kerana setiap karekter didalam kedua cerita ini digambarkan dengan begitu teliti dan kemas sehingga boleh mewujudkan suasana yang betul-betul berlaku disekitar kita. Seolah kita pula yang berada di dalam dunia mereka.

Nyx adalah tulisan Joe Quesada dan dilukis oleh Joshua Middleton dan Robert Teranishi rekaan bersama Joe Quesada dan Joshua Middleton. Sementara X23 ditulis oleh Craig Kyle dan Christopher Yost serta diillustrasikan dengan kemas oleh Billy Tan (Made in Malaysia).

Aku sebenarnya malas nak ulas panjang-panjang sebab nanti korang taknak beli punya. Komik murah pun tak beli, apa lagi komik memahal ni!

Kulit keras Nyx/ X23 akan berada dipasaran tidak lama lagi.

Komik Sebagai Rujukan Pelajaran?

Satu petang jumaat yang ceria, ye lah, sebab ada jamuan kat department menyambut hari jadi aku. Gila bangga shiot!

Satu petang jumaat yang ceria, ye lah, sebab ada jamuan kat department menyambut hari jadi aku. Gila bangga shiot!

Satu petang jumaat yang ceria seorang rakan memberitahu aku bahawa komik MAUS karya Art Spiegelman dijadikan bahan rujukan pelajaran di luar negara! Aku kagum dan aku bangga seketika tetapi apabila memikirkan komik-komik di Malaysia tidak sebegitu, aku jadi hambar.

Rakanku juga menjadi hambar dan kecewa kerana komik di Malaysia buat saat ini tidak mempunyai mutu yang tinggi untuk dijadikan sebagai bahan rujukan pelajaran.Kebanyakkan komik, boleh dikatakan, tidak kesemuanya adalah syok sendiri seorang pelukis. Mana taknya kalau yang melukis dan menulis adalah dia semata. Bagi aku tidak salah berbuat demikian kerana Zoy juga pernah melakukannya namun karya beliau agak outstanding berbanding yang ada sekarang. Sebagai contoh aku mengambil karya beliau yang bertajuk 'Ayoko' dan 'Ayoko 2' yang pernah disiarkan di akhbar Utusan suatu ketika dahulu.

Walaupun cerita itu ditulis dan dilukis oleh beliau, karyanya tetap hebat dan menarik. Dan tidak keterlaluan jika aku mengatakan karya beliau itu sudah cukup layak untuk dijadikan sebagai bahan rujukan pelajaran. Kenapa tidak? Di dalam 'Ayoko', Zoy banyak memasukkan elemen-elemen melayu dan budaya Jepun seperti budaya adat resam kedua bangsa serta seni mempertahankan diri warisan kedua-dua bangsa.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa Zoy banyak melakukan kajiselidik dan bacaan untuk menyampaikan kepada pembaca komik-komik beliau tentang sesatu perkara. Lebih membanggakan lagi, segala yang dikeluarkan di dalam komik 'Ayoko' adalah tepat dan teliti. Seni mempertahankan diri bangsa melayu serta ilmu Ninjutsu bangsa Jepun digarap cantik dan hebat sehinggakan kita begitu tertarik dengan kesempurnaan kedua bangsa.

Begitu juga dengan 'Ayoko 2', dimana Zaki, watak utama cerita tersebut terpaksa ke Jepun mengikut Ayoko balik berjumpa keluarganya di sana. Segala elemen dan tradisi rakyat Jepun dipaparkan dengan begitu tepat dan cantik. Cukup untuk membuatkan kita ingin ke Jepun untuk mempelajarinya dengan lebih tepat. Tidakkah kita bangga dengan karya yang sebegitu? Karya yang penuh dengan ilmu dan maklumat bukan hanya satu tetapi dua bangsa. Bukan setakat memaparkan ilmu seni mempertahankan diri bangsa melayu malah bangsa Jepun juga yang kaya dengan pelbagai ilmu mempertahankan diri.

Bagaimana sekarang? Adakah kita ingat kali terakhir karya komik tempatan yang begitu berkesan dihati kita? Bagaimana 'Jibam' tulisan Ujang dan lukisan Aie? Adakah Jibam cukup berkesan membuatkan kita berasa ingin menangis kerana bersimpati dengan nasib beliau? Karya 'Jibam' ini mungkin agak lama untuk dijadikan sebagai contoh seperti juga 'Ayoko' tadi tetapi bagaimana dengan komik-komik sekarang?

Contoh karya komik yang membuatkan kita "ooooo" apabila membacanya kerana penuh dengan ilmu dan maklumat tentang sesuatu? Tentang dunia pemotoran contohnya. Bagaimana? Ada? Anda nilaikanlah sendiri.

Thursday, May 17, 2007

Runaways Vol 1


Aku hanya mengetahui kewujudan komik ini melalui Amazon setelah melayari laman web tersebut untuk mencari beberapa buah komik. Setelah membaca beberapa testimonial dari pembeli dan pembaca Runaways, hati aku terus terpaut untuk memilikinya dengan kadar segera. Aku cuba mencarinya di Kino tetapi usahaku gagal kerana Kino kehabisan stok dan yang ada hanya TPB yang bersaiz kecil. Sungguh mengecewakan!

Terpaksalah aku memesannya melalui Amazon.com. Dalam masa 3 minggu ke 4 minggu Runaways Vol 1 berada dalam genggaman aku setelah menunggu dengan penuh keseksaan. Chewah!

First impression aku kepada komik ini adalah, lucu yang amat dan menarik. Lucu kerana Brian K Vaughan, penulisnya berjaya mewujudkan suasana lucu dan kelakar antara watak-watak yang menghiasi Runaways Vol 1 ini. Walaupun lukisannya adalah tidak sehebat mana tetapi tulisan BK Vaughan begitu mengasyikkan seperti mana dia melakukan untuk Y: The Last Man. Watak-watak seperti Alex Wilder,
Gertrude Yorkes, Chase Stein, Karolina Dean, Nico Minoru, and Molly Hayes adalah enam remaja yang menghadapi masalah dengan ibubapa mereka. Sikap tidak puashati dan rebellious menjerumuskan mereka ke dalam kancah kekalutan dan kebimbingan dibunuh ibubapa mereka sendiri!

Itulah kebenarannya dalam Runaways. Ibubapa mereka adalah penjahat-penjahat yang selama ini banyak membuat kacau di kota Los Angeles. Siapa boleh menyangka bahawa selama ini ibu bapa mereka adalah penjahat yang sangat-sangat dikehendaki pihak berkuasa LA dan S.H.I.E.L.D.S.

Rahsia ibu bapa mereka telah terbongkar dan perbuatan mereka diketahui oleh remaja-remaja tersebut dan membawa mereka ke alam bahaya dan berkemungkinan dibunuh!

Err...bersambung kerana aku belum lagi mampu menghabiskan komik ini. Wahahahaha!!

Runaways Vol 2 sudah berada dipasaran, dapatkannya kalau ada duit lebih.

Wednesday, May 16, 2007

Kelly Clarkson - My December


















Kelly Clarkson - My December available June 26, 2007. Asal aku suka Kelly Clarkson? Sebab dia kreatif. Dia pandai tulis/cipta lagu sendiri macam Avril, macam Jewel, macam Lisa Loeb, macam Johnny Rzeznik, macam Amy Lee, macam Belinda Carlisle. Walaupun dia tak secantik Tina Arena tapi dia lebih kreatif dari Tina Arena.

Januari - Mei 2007

Sepanjang bulan Januari hingga mei 2007 ini tidak banyak aktiviti yang aku lakukan. Sepanjang 5 bulan pertama ini seingat aku, hanya sekali aku berjumpa seseorang berkenaan dengan komik. Yang lainnya hanyalah gathering, lepak dan lepak.

Untuk mengisi 5 bulan pertama tanpa sebarang produk ini, aku lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca komik-komik luar. Bukan tujuan aku untuk mengagungkan komik luar tetapi niat aku hanya satu, ingin belajar dengan yang terbaik. Bak kata orang, untuk menjadi yang terbaik hendaklah belajar dengan yang terbaik.


5 bulan pertama ini adalah bulan-bulan di mana aku banyak juga membeli komik. Aku masih meneruskan koleksi Y: The Last Man karya Brian K Vaughan. Ketika ini vol 8 dan rasanya vol 9 sudah keluar. Seorang rakan mengatakan komik semakin draggy namun bagi aku, ianya sesuatu yang menghiburkan. Walaupun ceritanya draggy tetapi asas cerita ini masih kekal dan tiada beza dari vol 1 hingga vol 8. Memuaskan!

Ultimate X-Men sudah memasuki vol 6 untuk koleksi hardcovernya. Ceritanya seperti dulu menghiburkan tetapi agak mengecewakan bila Marvel menugaskan pelukis yang agak merapu untuk melukis komiknya. Sebagai contoh aku ambil dalam vol 6, Jae Lee ditugaskan untuk melukis beberapa siri. Bagi kebanyakkan orang, Jae Lee adalah legend tetapi tidak bagi aku. Untuk selera seperti aku, Jae Lee adalah pelukis yang aku tidak suka. Kenapa? Sebabnya hanya satu, lukisannya terlalu banyak menggunakan bayang atau dark area. Kenapa tidak diminimumkan sahaja penggunaannya? Malas nak render ke bang? Harapan aku untuk isu-isu akan datang Jae Lee tidak digunakan sebagai pelukis. Hopely.

Jack of Fables; Apa yang terlintas difikiran korang? Komik Fables yang mengasyikkan itu? Jawapannya adalah YA! Jack of Fables adalah kesinambungan Fables, yang mana Jack, dari fairy tales Jack & The Beanstalk mempunyai ceritanya yang tersendiri. Kira macam spin off la ni. Penulisnya adalah Bill Willingham, penulis sama yang mengasyikkan pembaca melalui Fables. Ceritanya berkisar Jack ditangkap dan dibawa ke satu tempat dimana dia bertemu dengan Goldilock. Dalam Fables, Goldilock dikapak Snow White tetapi dia survive dan dibawa ke tempat sama dimana Jack ditahan.

Tempat itu adalah seperti sebuah pusat tahanan untuk fairy-fairy tales yang jarang dilihat sebelum ini dan Jack adalah salah seorang dari mereka. Plot Jack adalah untuk melarikan diri dari pusat itu. Adakah Jack akan berjaya? Belilah Jack of Fables Vol 1 keluaran Vertigo.


Aku juga membeli The New Avengers vol 2-4 tulisan Brian Michael Bendis. Memandangkan aku sudah membaca vol 1 pinjaman seorang rakan, maka perlu untuk aku menyudahkan isu seterusnya. Bagi aku The New Avengers tidaklah mengecewakan. Menarik dan penuh dengan kejutan.

Setakat ini, yang paling best, Vol 2, kisah mengenai Sentry tu memang best dan Spiderman memang suka buat lawak bodoh!

Civil War anyone?

Sungguh Lama Rasanya...

Tahun baru 2007 sudah hampir memasuki pertengahan tahun namun inilah kali pertama aku menulis untuk blog ini, pada tahun ini rasanya.

Sebenarnya aku bukannya malas atau apa TETAPI aku fed-up dengan blogger.com ni. Nak masuk punyala slow, lepas tu plak nak tukar-tukar pakai google punya login la plak, tu yang buat aku fed-up dan menyampah ni!

Akhirnya pada hari ini, 16 May 2007, aku berjaya memperbetulkan keadaan blog Avant Garde yang aku cintai tetapi makin aku lupai.

Rancangan aku tahun 2007 ini hanyalah satu, mahu menerbitkan semula zine Avant Garde sehingga aku mengadakan tawaran di PERGH.COM untuk sesiapa yang berminat menghantar komik-komik kepada zine aku. Namun, kita hanya merancang, ALLAH menentukan, segala perancangan terbantut kerana masalah pemasaran zine aku menjadi begitu rumit. Laman Seni di Balai Seni Lukis Negara sudah lama berkubur dan kini aku masih terkial-kial mencari tapak untuk aku memasarkan zine aku ini.

Mungkin aku terpaksa bergerak dengan lebih cergas untuk mengatasi masalah ini. Mungkin aku perlu memasarkannya sendiri melalui internet, melalui word of mouth kengkawan dan taulan.

Amat susah untuk berdiri seorang diri dalam situasi turun naik dunia komik tempatan ni sebab sekarang musim barang-barang naik. Sehingga saat dan ketika aku menulis ni pun, aku terbaca tepung pula naik harga. Sadis sekali. Roti canai, makanan kegemaran aku bakal dinaikkan harga?

Aku membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menghantar komik-komik kepada zine aku dengan sedikit bayaran sebagai ganjaran namun setakat ini ada yang berminat namun masalah pemasaran menjadi isu buat aku.

Walau bagaimana susah pun, aku perlu bergerak.

Thursday, January 18, 2007

2007, Satu Permulaan Baru

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh,

Bulan januari 2007 sudah 2 minggu berlalu dan sehingga kini Avant Garde (AG) masih tiada apa-apa perkembangan terbaru. Ini amat merisaukan saya kerana matlamat asal saya adalah untuk menerbitkan kembali keluaran zine AG untuk tahun 2007 ini.

Bulan januari akan berakhir dalam masa lebih kurang 2 minggu sahaja lagi. Satu keputusan drastik perlu dilakukan untuk mengembalikan penerbitan zine AG kembali seperti biasa dan sebagai langkah pertama, blog AG sudah dibersihkan daripada segala tulisan yang tidak berkenaan dengan komik atau yang seangkatan dengannya. Blog ini akan mengekalkan berita, maklumat dan tulisan berkenaan dengan komik sahaja.

Diharap 2007 ini akan membawa lebih tuah kepada zine AG kerana saya dalam perancangan untuk menerbitkan kembali zine AG seperti biasa. Doakan saya berjaya.