Thursday, August 02, 2007

Apa Yang Perlu Ada Dalam Komik Masakini?

Majalah komik begitu banyak membanjiri pasaran ketika ini dan kemungkinan untuk satu jangkamasa yang agak panjang. Majalah sebegini pada pendapat aku hanyalah picisan kerana pada pendapat aku, majalah komik sudah lama diusahakan oleh keluaran Art Square iaitu melalui Gempak dan yang keduanya Starz.

Pada pendapat aku kedua majalah ini sudah memenuhi atau mencukupi untuk pasaran majalah komik kerana Art Square juga mengeluarkan U-topia, Comic King (untuk pasaran bahasa Cina) dan Hype. Walaupun pada awalnya beberapa majalah tersebut menyelitkan beberapa buah komik namun bagi aku, yang sedia cukup itu, cukuplah!

Sampai berapa majalah komik lagi perlu kita berjumpa atau mengadap di pasaran buat masa ini? Tidak kah penerbit memikirkan akan kehendak hati pembaca? Majalah Starz yang agak tinggi jualannya suatu ketika dahulu pun, semakin merosot. Majalah ini pada awalnya dikeluarkan secara bulanan, setelah mendapat sambutan, majalah ini dikeluarkan 2 kali sebulan tetapi sehingga sekarang keluarannya dihadkan kepada sebulan sekali. Kenapa?

Pada pendapat aku mungkin pembaca Starz sudah muak dengan Starz kerana asyik memaparkan berita-berita manga sedangkan Astro baru sahaja melancarkan saingan terbaru mereka, saluran Animax, Channel 25. Dengan adanya siaran Animax itu, aku nampak sambutan kepada majalah Starz semakin berkurangan kerana maklumat yang diperlukan bukan sahaja boleh didapat di dalam Starz malah pembaca juga boleh mendapatinya di saluran Animax dan World Wide Web.

Pembaca sekarang sudah bijak dan dengan adanya broadband yang boleh diakses di mana sahaja, majalah Starz terpaksa menerima hakikat bahawa majalah komik mereka sudah ketinggalan zaman. Pernahkah kita terfikir, kenapa perlu membelanjakan duit setiap bulan untuk membeli majalah sedangkan dengan hanya RM77 sebulan kita boleh mendapat jutaan maklumat terkini mengenai manga atau anime dengan hanya melanggani streamyx atau dengan menonton saluran Animax?

Pada pendapat aku, majalah Starz atau majalah-majalah lain yang ingin mengekalkan konsep majalah komik mereka, perlu berfikir berjuta kali, adakah mereka boleh menandingi maklumat yang ada di dalam WWW?

Oleh sebab itu penerbit perlu bijak memikirkan sesuatu atau membuat sesuatu yang tiada di dalam WWW.

Sememangnya semua benda ada di dalam WWW tetapi bagaimana kita boleh mencuri tumpuan pencari maklumat ini? Bagaimana kita boleh menarik mereka membeli majalah kita?

Apa yang aku maksudkan di sini adalah komik kita. Komik yang mewakili apa yang ada di dalam masyarakat kita ketika ini. Apa ada dengan masyarakat kita? Apakah yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita? Adakah fantasi? Adakah kisah pengumpul kad, misalnya? Adakah kisah pertarungan hebat seperti Dragon Ball kameha kameha?

Persoalan ini yang perlu kita fikir dan jawapannyalah yang perlu kita wujudkan di dalam komik kita buat tika dan saat ini. Pembaca dahagakan sesuatu yang benar-benar berlaku di dalam masyarakat. Bagaimana kita mengambarkannya melalui komik?

Cuba kita fikir kenapa majalah Mastika begitu laris dipasaran?

Jawapannya, kerana Mastika memaparkan kisah masyarakat! Benar atau tidak sesuatu berita itu tidak menjadi masalah kerana masyarakat kita mudah percaya dengan perkara-perkara buruk yang sedang berlaku dan mereka ingin mengetahui kenapa perkara sedemikian boleh berlaku dalam masyarakat? Di mana, bagaimana, kenapa dan macam mana?

Maksud aku di sini, tidak semestinya kita perlu melukis komik yang memaparkan keburukan masyarakat kita sahaja. Kenapa tidak dipaparkan sesuatu yang boleh membawa manfaat?

Disinilah peranan pelukis atau penulis komik berusaha untuk memaparkan sesuatu yang membawa tauladan atau kebaikan. Sesuatu yang boleh memberi inspirasi kepada umum akan kebaikan yang boleh memberi banyak manfaat kepada manusia.

Disinilah terletaknya kreativiti penulis atau pelukis komik. Disinilah kita sebagai penggiat komik perlu berubah dan perlu membawakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada masyarakat. Disinilah kita sebagai penggiat, berubah kepada sesuatu yang 'berpijak di bumi nyata'. Sesuatu yang sudah lama berlaku didepan mata apatah lagi di dalam komuniti masyarakat kita.

Pembaca sudah muak dengan kisah fantasi, kisah percintaan atau kisah pertarungan kerana di dalam WWW atau TV atau filem, perkara sebegini sudah terlalu banyak. Pembaca mahukan sesuatu yang benar, sesuatu yang betul-betul berlaku dan berupaya menyentuh hati mereka!

Cuba kita fikir kenapa rancangan realiti hiburan begitu mendapat sambutan?

Renung-renungkanlah!

No comments: