Aku rasa cukup dahulu bab Bagaimana Menjana Idea kerana sememangnya idea ini boleh datang dan pergi bila-bila masa tidak kira tempat dan ketika. Jadi, pandai-pandailah kita mengawalnya atau mecatitnya supaya tidak hilang begitu sahaja ditelan masa.
Sekarang mari pula kita lihat bab berkaitan dengan sifat. Sifat dan sikap adalah 2 perkara yang berlainan. Sifat lebih menjuruskan kepada tingkah laku seseorang ataupun perwatakan beliau. Sifat ini bolehlah kita bahagikan kepada 2, sifat azali dan sifat yang dipelajari. Sifat azali ini biasanya merujuk kepada sifat-sifat yang ada pada diri seseorang sejak dari lahir lagi. Dan banyaklah sifat-sifat itu samada baik atau buruk. Dan sifat yang dipelajari pula adalah sifat yang diamal dan dipraktikkan untuk mewujudkannya menjadi sifat azali seseorang individu.
Ini tajuk pertama dalam bab sifat ini, aku ini sentuh tentang sifat yang paling penting kepada semua manusia, bukan sahaja pelukis komik bahkan semua makhluk yang bergelar insan iaitu RENDAH DIRI. Rendah diri adalah merupakan sifat yang paling mulia dan sememangnya dituntut dalam agama. Kita sering mendengar pepatah ikut resam padi, makin berisi makin merendah kan? Begitulah maksud yang cuba aku utarakan disini. Rendah diri tidak ada pada semua orang. Dan lawan kepada sifat rendah diri ini adalah tinggi diri, sombong, berlagak atau ego yang negatif.
Apa yang cuba aku maksudkan disini adalah sifat rendah diri dalam diri seseorang pelukis komik, penulis komik atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan komik tanahair. Tidak kira orang itu serius atau sebaliknya, sifat ini harus dan sememangnya patut dimiliki atau dihalusi oleh setiap individu berkenaan dalam dunia komik. Kenapa sifat rendah diri ini perlu?
Bagi aku sifat ini amat-amat penting kerana jika tiada sifat ini bagaimana kita hendak maju? Cuba bayangkan seorang pelukis komik yang tiada sifat ini. Adakah dia akan mudah menerima teguran, kritikan dan komen orang? Jika dia tiada sifat rendah diri ini sudah tentu sifat berlagak, sombong atau perasan diri macam bagus akan bersarang dan bersawang dalam diri dia. Maka sudah tentu dia tidak boleh menerima pendapat, kritikan, komen atau apa sahaja tulisan yang merujuk kepada karyanya atau sesebuah penerbitan.
Itulah sifat yang boleh menjahanamkan dirinya dan menghancurkan dunia komik tanahair kerana dia percaya pada dirinya sendiri bahawa dialah yang terbaik dari semua orang maka apabila seorang yang kecil dalam dunia komik memberikan pendapat, maka dia tidak akan dapat menerimanya walaupun pendapat itu ada betulnya. Setiap kritikan atau komen dianggap sebagai sampah kerana dia percaya dia sudah lama dan sudah banyak bergiat dan berjasa kepada dunia komik tempatan. Dia akan memandang kepada siapa yang bercakap bukan kepada apa yang dicakapkan atau diperkatakan. Itulah dia lawan kepada sifat rendah diri. Apabila orang memberikan komen dan pendapat, dia akan membalas dengan mengatakan seolah-olah 'aku siapa kau siapa?' ataupun 'aku otai kau siapa?' 'Ala...baru setahun dua aktif dah nak kecoh, macam bagus!'
Begitulah contoh-contoh yang biasa kita dengar dari seseorang yang berlagak dan sombong dengan apa yang dia ada dan bukannya dengan apa yang dia tiada. Dia akan terus mengkritik orang yang memberikan pendapat itu kerana dia menyangkakan dia adalah seorang yang maha hebat sehingga seorang pun tidak boleh mengkritiknya. Ataupun dia akan memandang rendah kepada pengkritik itu berdasarkan kepada apa yang dibuat atau dilakukan pengkritik itu untuk dunia komik.
Dan perasan ini akan terus bersarang dan bernanah menjadi satu penyakit yang amat sukar untuk dibuang dan diatasi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment