Friday, August 24, 2007

Terima Kasih


Dengan ini aku menutup blog AG aku ini kerana tiada membawa apa-apa faedah kepada dunia komik. Lukisan ini menginsafkan aku. Menyedarkan aku, tentang siapa aku sebenarnya. Sememangnya aku tidak layak berkata-kata kerana aku tiada melakukan apa-apa untuk komuniti komik.

Terima kasih kerana menyedarkan aku.

Saturday, August 04, 2007

Syok Sendiri?

Syok sendiri pada pandangan aku biarlah kena pada tempatnya.

Contohnya, jika kita menerbitkan zine atau art zine
sendiri, segala halatuju zine ditentukan oleh kita seorang dan pandangan umum tidak dikira sebagai pandangan majoriti penerbitan sesebuah zine.

Manakala penerbitan majalah sebenar adalah mengikut halatuju syarikat tetapi pandangan umum juga diambil berat kerana jatuh dan bangunnya sesatu majalah adalah bergantung kepada pembaca sepenuhnya.

Syok sendiri di dalam zine dibenarkan kerana kita mengeluarkan duit poket untuk menerbitkannya. Biar apa pun komen orang, jatuh bangun zine kita adalah ditentukan sejauh mana aktifnya kita menjualnya. Sesebuah zine tidak perlu dikira berjaya atau tidak kerana zine tidak merangkumi ruang yang cukup luas untuk ditentu akan kejayaannya.

Zine adalah lakaran peribadi penerbitnya. Zine adalah luahan rasa, ekspresi serta eksploitasi penerbit untuk diwar-warkan kepada dunia luar. Zine adalah lebih kepada peribadi penerbit dan boleh dikatakan sebagai diari penerbit yang ditunjukkan kepada dunia.

Oleh kerana itulah, syok sendiri di dalam zine adalah dibenarkan 100% tetapi tidak di dalam majalah biasa. Majalah biasa adalah perhubungan pelukis atau penulis komik dengan dunia luar. Mana mungkin kita menghasilkan sesuatu yang syok sendiri tanpa memikirkan akan kepentingan pembaca?

Jika pelukis atau penulis komik mementingkan diri mereka sendiri maka jadilah komik itu satu bahan jenaka atau bahan sampingan di dalam sesatu majalah. Kenapa? Jawapannya adalah kerana pembaca atau pembeli sudah muak dan mual dengan komik yang tidak mewakili mana-mana pihak.

Masyarakat pembaca sudah bijak. Mereka tidak mahu lagi membaca komik fantasi kerana mereka sudah ada filem Harry Potter atau Lord of The Rings. Pembaca sudah muak dengan komik pertarungan kerana masyarakat sudah ada Dragon Balls atau Ultraman.

Yang penting disini adalah komunikasi. Jika kita melukis atau menulis komik, kita perlu fikirkan tentang komunikasi kita dengan dunia luar.

Akademi Fantasia berjaya kerana mereka berhubung dengan dunia luar. Majalah Mastika berjaya kerana mereka berhubung dengan dunia luar. Mereka dengan berani mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat ketika ini.

Pembaca mahukan sesuatu yang boleh berkomunikasi dengan mereka. Sesuatu yang betul-betul berlaku dalam dunia mereka. Atau mungkin barangkali sesuatu yang baru, yang belum pernah diterbitkan sebelum ini.

Disinilah peranan kita sebagai penulis komik.

Majalah Salina: Revisited Bahagian Kedua

Arena komik tanahair bukannya ketandusan pelukis komik yang hebat tetapi ketandusan penulis komik yang hebat.

Komik Malaysia suatu ketika dulu cukup gah dengan Penerbitan Mediaseni yang berjaya menerbitkan ratusan komik sepanjang beberapa tahun. Namun begitu diatas kos penerbitan yang semakin meningkat, Mediaseni terpaksa diberhentikan.

Ketika itu siapa tidak kenal Saari AM, Marzuki Yusof, Mansor Ibrahim, Ibrahim Hamid, Rosli Hamid serta ramai lagi. Komik mereka menjadi pujaan dan bacaan ribuan pembaca ketika itu. Kenapa komik mereka berjaya? Persoalan itu yang perlu kita tanya dan fikirkan apakah jawapan yang perlu dicari?

Adakah kerana lukisan komik mereka sahaja yang menarik atau kerana tulisan komik mereka juga menarik?

Pada pendapat aku, komik ketika itu berjaya kerana pelukis komik ketika itu masih lagi mempunyai bakat penulisan yang agak hebat. Komik mereka bukan sahaja menarik dari segi lukisan mereka malah tulisan dan cerita mereka juga.

Contohnya, Marzuki Yusof, anak jati Kelantan yang cukup terkenal dengan komiknya, Jati Tunggal. Komik kepahlawanan yang meniru aksi Conan The Barbarian tetapi digarap dengan cerita dan lokasi tempatan. Cantuman yang berjaya dilukis dan ditulis Marzuki Yusof.

Begitu juga Saari AM yang begitu banyak melukis komik pendekar yang banyak mengekploitasikan masyarakat melayu ketika dahulu. Komik dan tulisannya yang bersahaja cukup berkesan di hati pembaca. Malah, beliau layak digelar bapa komik pendekar Malaysia kerana puluhan komik beliau banyak menggunakan pendekar sebagai watak utama.

Masalah kita pada masa sekarang adalah storytelling. Tukang cerita yang betul-betul berbakat. Tukang cerita yang boleh mengembalikan kegemilangan komik tanahair seperti zaman Mediaseni atau Salina dahulu.

Kalau komik luar mempunyai penulis hebat seperti Brian Michael Bendis atau Mark Millar, kenapa kita tidak boleh memiliki penulis sehebat seperti mereka?

Kenapa kita masih mencuba gaya lama pelukis komik menulis komik pada masa yang sama sedangkan kita tahu keputusannya adalah tidak memberangsangkan?

Lebih malang lagi bila pelukis komik syok sendiri tanpa menyedari komik mereka sebenarnya adalah bahan jenaka pembaca diluar?

Friday, August 03, 2007

Majalah Salina: Revisited

Kerap kali aku mengutarakan akan kelebihan majalah Salina didalam beberapa entri aku sebelum ini. Kenapa Majalah Salina? Kenapa perlu mengambil contoh majalah yang sudah lama berkubur untuk dijadikan sebagai contoh majalah terbaik? Apakah keistimewaan majalah Salina sehingga aku asyik dan sering menyebut perihal majalah ini?

Mari kita kembali ke zaman dimana majalah Salina menjadi pujaan puluhan ribuan pembaca di Malaysia suatu ketika dahulu. Mari pelajari apakah keistimewaan majalah Salina. Mari kita ambil, tiru, stereotyping atau apa sahaja formula yang kita fikir boleh membantu menyuburkan kembali arena komik tanahair.

Persoalannya sekarang, kenapa majalah Salina berjaya pada eranya, pada zamannya? Cuba kita semak kembali apakah menu utama majalah Salina yang menyebabkan seorang pembaca boleh terpikat kepadanya?

Majalah Salina adalah keluaran sulung Raz Studio dan mula diterbitkan pada 70-an dengan barisan pelukis-pelukis komik yang agak hebat. Pada ketika itu siapa tidak kenal Rizalman, Zawawie HO, Sang Arif Budiman, S Zain, Samudra Perwira, S Mohammad dan R Rahimah?

Lukisan merekalah antaranya yang mewarnai majalah Salina sehinggakan digilai ramai pembaca tidak kira lapisan umur dan jantina.

Persoalannya disini, kenapa majalah Salina mampu mendapat tempat?

Cuba perhatikan menu utama majalah Salina. Bukankah komik Salina sendiri yang menjadi komik utama majalah ini? Inilah menu utama majalah sehinggakan mampu bertahan berbelas tahun lamanya. Inilah menu yang tidak mampu diterbitkan oleh kebanyakkan pelukis majalah komik ketika ini. Mereka hanya mampu membuat cerita 'one shot' atau jika bersambung pun hanya 3,4 keluaran dan selepas itu, kehabisan modal.

Jika ada yang mampu bertahan sehingga berpuluh episod pun, jalan cerita menjadi masalah utama siri komik tersebut dimana tiada sambutan kerana pembaca tidak langsung tertarik malah tiada niat untuk mengikuti perkembangan siri komik tersebut.

Inilah yang kerap dilakukan Gempak dan komik-komiknya. Entah apa yang diceritakan sedangkan majoriti pembaca sudah muak dan jemu dengan jalan ceritanya yang asyik berkisar dengan dunia fantasi. Dari dahulu sehingga sekarang, fantasi fantasi fantasi sehingga majalah Fantasi pun diberhentikan.

Arena komik tempatan bukannya ketandusan pelukis-pelukis hebat tetapi yang menjadi masalah utama adalah penulis komik yang cukup kreatif. Kita kekurangan penulis komik yang betul-betul boleh membawa arena komik tempatan ke satu tahap yang boleh dibanggakan seperti zaman majalah Salina dahulu.

Lebih malang lagi apabila pelukis komik sendiri yang melukis dan menulis cerita komik mereka sehingga menjadi bahan syok sendiri yang melampau dan memualkan tekak! Lukisan bukanlah satu isu disini TETAPI isi cerita komik tersebut yang aku persoalkan.

Apa yang aku nampak setakat ini, hanya AIE yang betul-betul mampu menulis cerita dengan baik tetapi malangnya lukisannya lebih berbentuk kartun.

Bahan itulah yang menjadi pokok pangkal kejayaan majalah Salina. Cerita komik Salina yang begitu menghiburkan walaupun mempunyai episod yang panjang meleret tetapi pembaca mudah terhibur dan terus terpikat dengannya.

Ada satu komik cuba menjadikan kisah cinta sebagai menu komik keluaran mereka malangnya, lukisan menjadi masalah besar mereka. Isi cerita amat menarik tetapi lukisannya begitu mengecewakan. Walaupun di terbitkan semula oleh sebuah penerbitan besar, komik tersebut masih lagi gagal kerana tiada apa-apa perubahan langsung yang dilakukan. Sekali lagi komik tersebut gagal!

Inilah menu yang dilupakan oleh kebanyakkan penerbit majalah komik, cerita yang boleh memikat dan menarik pembaca untuk terus membeli majalah mereka.

Begitu juga dengan sebuah penerbitan yang besar. Mereka gagal memanfaatkan kelebihan mereka mempunyai ratusan penulis novel yang terkenal tetapi masih gagal untuk menjadikannya sebagai menu utama majalah komik mereka. Akhirnya majalah itu diberhentikan.

Bukalah mata wahai penerbit majalah sekelian. Galilah sedalam mana untuk mencari bakat penulis komik, renangilah seluas mana lautan pun untuk mencari Alan Moore, Brian K Vaughan atau Brian Azzarello versi Malaysia yang mampu menaikkan arena komik tempatan.

Thursday, August 02, 2007

Apa Yang Perlu Ada Dalam Komik Masakini?

Majalah komik begitu banyak membanjiri pasaran ketika ini dan kemungkinan untuk satu jangkamasa yang agak panjang. Majalah sebegini pada pendapat aku hanyalah picisan kerana pada pendapat aku, majalah komik sudah lama diusahakan oleh keluaran Art Square iaitu melalui Gempak dan yang keduanya Starz.

Pada pendapat aku kedua majalah ini sudah memenuhi atau mencukupi untuk pasaran majalah komik kerana Art Square juga mengeluarkan U-topia, Comic King (untuk pasaran bahasa Cina) dan Hype. Walaupun pada awalnya beberapa majalah tersebut menyelitkan beberapa buah komik namun bagi aku, yang sedia cukup itu, cukuplah!

Sampai berapa majalah komik lagi perlu kita berjumpa atau mengadap di pasaran buat masa ini? Tidak kah penerbit memikirkan akan kehendak hati pembaca? Majalah Starz yang agak tinggi jualannya suatu ketika dahulu pun, semakin merosot. Majalah ini pada awalnya dikeluarkan secara bulanan, setelah mendapat sambutan, majalah ini dikeluarkan 2 kali sebulan tetapi sehingga sekarang keluarannya dihadkan kepada sebulan sekali. Kenapa?

Pada pendapat aku mungkin pembaca Starz sudah muak dengan Starz kerana asyik memaparkan berita-berita manga sedangkan Astro baru sahaja melancarkan saingan terbaru mereka, saluran Animax, Channel 25. Dengan adanya siaran Animax itu, aku nampak sambutan kepada majalah Starz semakin berkurangan kerana maklumat yang diperlukan bukan sahaja boleh didapat di dalam Starz malah pembaca juga boleh mendapatinya di saluran Animax dan World Wide Web.

Pembaca sekarang sudah bijak dan dengan adanya broadband yang boleh diakses di mana sahaja, majalah Starz terpaksa menerima hakikat bahawa majalah komik mereka sudah ketinggalan zaman. Pernahkah kita terfikir, kenapa perlu membelanjakan duit setiap bulan untuk membeli majalah sedangkan dengan hanya RM77 sebulan kita boleh mendapat jutaan maklumat terkini mengenai manga atau anime dengan hanya melanggani streamyx atau dengan menonton saluran Animax?

Pada pendapat aku, majalah Starz atau majalah-majalah lain yang ingin mengekalkan konsep majalah komik mereka, perlu berfikir berjuta kali, adakah mereka boleh menandingi maklumat yang ada di dalam WWW?

Oleh sebab itu penerbit perlu bijak memikirkan sesuatu atau membuat sesuatu yang tiada di dalam WWW.

Sememangnya semua benda ada di dalam WWW tetapi bagaimana kita boleh mencuri tumpuan pencari maklumat ini? Bagaimana kita boleh menarik mereka membeli majalah kita?

Apa yang aku maksudkan di sini adalah komik kita. Komik yang mewakili apa yang ada di dalam masyarakat kita ketika ini. Apa ada dengan masyarakat kita? Apakah yang sedang berlaku di dalam masyarakat kita? Adakah fantasi? Adakah kisah pengumpul kad, misalnya? Adakah kisah pertarungan hebat seperti Dragon Ball kameha kameha?

Persoalan ini yang perlu kita fikir dan jawapannyalah yang perlu kita wujudkan di dalam komik kita buat tika dan saat ini. Pembaca dahagakan sesuatu yang benar-benar berlaku di dalam masyarakat. Bagaimana kita mengambarkannya melalui komik?

Cuba kita fikir kenapa majalah Mastika begitu laris dipasaran?

Jawapannya, kerana Mastika memaparkan kisah masyarakat! Benar atau tidak sesuatu berita itu tidak menjadi masalah kerana masyarakat kita mudah percaya dengan perkara-perkara buruk yang sedang berlaku dan mereka ingin mengetahui kenapa perkara sedemikian boleh berlaku dalam masyarakat? Di mana, bagaimana, kenapa dan macam mana?

Maksud aku di sini, tidak semestinya kita perlu melukis komik yang memaparkan keburukan masyarakat kita sahaja. Kenapa tidak dipaparkan sesuatu yang boleh membawa manfaat?

Disinilah peranan pelukis atau penulis komik berusaha untuk memaparkan sesuatu yang membawa tauladan atau kebaikan. Sesuatu yang boleh memberi inspirasi kepada umum akan kebaikan yang boleh memberi banyak manfaat kepada manusia.

Disinilah terletaknya kreativiti penulis atau pelukis komik. Disinilah kita sebagai penggiat komik perlu berubah dan perlu membawakan sesuatu yang boleh memberi kesan kepada masyarakat. Disinilah kita sebagai penggiat, berubah kepada sesuatu yang 'berpijak di bumi nyata'. Sesuatu yang sudah lama berlaku didepan mata apatah lagi di dalam komuniti masyarakat kita.

Pembaca sudah muak dengan kisah fantasi, kisah percintaan atau kisah pertarungan kerana di dalam WWW atau TV atau filem, perkara sebegini sudah terlalu banyak. Pembaca mahukan sesuatu yang benar, sesuatu yang betul-betul berlaku dan berupaya menyentuh hati mereka!

Cuba kita fikir kenapa rancangan realiti hiburan begitu mendapat sambutan?

Renung-renungkanlah!