Tuesday, September 27, 2005

Pendapat Anda Tentang Komik? Bahagian 2

Sunguh cepat masa berlalu tanpa disedari. Diam tak diam sudah sebulan blog AG ini tidak dikemaskini. Kesibukkan menjadi alasan biasa yang mungkin muak kita dengar/baca/lihat. Ayuh, kita sambung cerita seterusnya.

Seorang pelukis sebenarnya lebih hebat dari seorang pengarah filem dalam dunianya yang tersendiri. Mungkin seorang pengarah filem hebat dari dalam dunia perfileman kerana berjaya menggarap dan mengarahkan puluhan mungkin ribuan pelakon untuk membawa watak mereka dengan berkesan tetapi pernahkah kita membayangkan bagaimana susahnya seorang pelukis komik?

Bayangkan jika sesebuah komik itu ditulis dan dilukis dengan sendiri. 'One Man Show'. Kita tolak tepi dahulu nilai tulisan komik itu tetapi cuba kita perhatikan betapa susahnya seorang pelukis hendak menggambarkan suasana sesuatu keadaan dengan melukis dan membayangkannya di dalam kepala mereka?

Berbalik kepada suasana perfileman, seseorang pengarah mungkin perlu memilih lokasi rakaman filem mereka, sedangkan seseorang pelukis PERLU mengambarkan serta memilih lokasi sesuatu situasi didalam kepala mereka dan seterusnya melakarkannya di atas kertas lukisan. Bayangkan jika objek berdiri di taman bunga, di tepi tasik atau kolam, berdiri di tepi jendela di dalam sebuah bilik, duduk menyilang kaki sambil mengadap tv atau jendela. Bayangkan seorang pelukis komik perlu melakar dan melukis kesemua objek dalam waktu yang sama, yang mana semuanya ini bukanlah sesuatu yang mudah atau senang.

Berbanding dengan kerja seorang pengarah, dia hanya perlu mengarah dan menyuruh para pelakonnya untuk menggayakan segala situasi dengan arahan yang mudah dan senang untuk difahami. Menyilang kaki, duduk bersila, termenung melihat di luar jendela, baring sambil mengiringkan badan, pendek kata kesemuanya dengan sekali atau dua arahan. Mudah bukan? Tetapi bagaimana dengan kerja-kerja seorang pelukis komik? Dia perlu menggambarkan kesemua benda-benda di sekeliling imej manusia tersebut dan perlu melakarkannya dengan tepat dan kemas supaya dapat menimbulkan suasana yang diingini.

Begitu juga jika sesebuah komik yang dihasilkan dengan usahasama dengan seorang penulis komik. Setiap suasana perlu diterangkan dengan jelas agar mudah untuk sang pelukis melakarnya tanpa sebarang masalah. Namun, pasti tidak semudah yang disangkakan. Bagaimana hendak menggambarkan mimik muka seseorang yang sedang bersedih, menangis, murung, gembira, berkerut dahi dan sebagainya. Mudah? Mungkin tidak. Jika mudah, cuba bayangkan bagaimana rupa seseorang sedang menahan kesakitan perut yang amat sangat.

Marah, sedih, risau, sakit, gembira dan sebagainya adalah beberapa mimik muka yang perlu dihasilkan dengan tepat untuk mewujudkan suasana yang diperlukan oleh seorang penulis komik. Bukan senang dan bukan mudah dan bukan dengan hanya satu arahan yang sekelip atau dua kelip mata akan mudah untuk dilakukan. Oleh itu kerja-kerja seorang pelukis komik bukanlah mudah seperti yang digambarkan tetapi akibat dari keremehan pandangan manusia maka komik menjadi sesuatu yang dipandang remeh.

Berlainan di Amerika atau Jepun, penulis atau pelukis komik dibayar dengan bayaran yang tinggi dan ada yang diikat kontrak sehingga satu ke dua tahun untuk menghasilkan komik-komik yang bermutu. Bagaimana di Malaysia? Ada tidak seorang pelukis dibayar sehingga RM5,000 sebulan hanya semata-mata untuk melukis komik? Dibayar setinggi itu untuk melukis 3,4 buah komik dalam 10 ke 20 muka surat sebulan? Jika ada, sila nyatakan siapa? Di Malaysia sahaja, bukannya pelukis yang bekerja untuk luar. Tempatan.

Inilah masalahnya dengan sikap masyarakat Malaysia. Membaca itu sendiri bukan merupakan satu hobi bagi kebanyakkan rakyat Malaysia jadi bagaimana mungkin membaca komik akan menjadi satu hobi yang paling digemari di Malaysia? Harga komik 3 atau 4 ringgit sudah menjadi masalah dan bagaimana pula hendak membeli komik-komik yang berharga lebih dari itu? 100 atau 200 ringgit? Mungkin membeli-belah lebih bermakna dan lebih berfaedah dari membaca komik dan berkemungkinan besar akan menghadapi tuduhan sebagai manusia poyo.

Itulah yang sebenarnya perlu kita lakukan sebagai penggiat komik. Mungkin ada cara dan tips yang lebih berkesan bagaimana ingin menarik lebih ramai pembaca untuk membaca komik dan seterusnya menganggap komik bukan bahan picisan atau bahan bacaan ringan. Sebuah komik yang boleh merubah sikap seseorang. Sebuah komik yang boleh mendidik manusia menjadi manusia yang berguna dan boleh memberi manafaat kepada masyarakat dan negara khususnya.

Sebelum ini bukannya tiada komik-komik yang bermutu tinggi dan menjadi sebutan ramai. Dari tahun 1970an hinggalah ke tahun millenium ini, sudah banyak komik yang dihasilkan yang mana isinya cukup bagus dan berhak mendapat pengiktirafan namun, apakan daya, komik adalah bacaan ringan.

2 comments:

Anonymous said...

Selamat bepuasa Bro Madstone. Marts.

Anonymous said...

Selamat Berpuasa. Enjoy reading AG.