Friday, November 10, 2006

Baliklah Ke Pangkal Jalan.

Menerbitkan majalah bukan satu pekerjaan yang mudah atau boleh dibuat dengan sebelah mata sahaja. Lebih-lebih lagi majalah yang berbentuk komik dan artikel. Banyak segi perlu diperhatikan kerana ianya melibatkan ramai pihak dan memerlukan konsistensi setiap individu yang terlibat.

Pengalaman saya menerbitkan zine sendiri sememangnya merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Walaupun tenaga kerja hanya seorang dan hasil sumbangan rakan-rakan, saya berjaya juga menerbitkan zine Avant Garde sebanyak 13 isu. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana untuk mengekalkan keluaran setiap bulan selama setahun adalah merupakan satu kerja yang bukan mudah. Apatah lagi melakukannya seorang diri!

Dari sini saya dapat belajar banyak perkara selok belok dunia penerbitan dan majalah. Walaupun cuma sekelumit, namun cukup untuk membuka mata dan minda saya tentang pahit maung individu yang menerbitkan majalah yang sebenar.

Umum penggiat komik atau pembacanya, sudah arif tentang 2 majalah ini yang cukup hangat dipasaran kebelakangan ini. Tidak dapat dinafikan, kedua majalah ini mempunyai peminatnya yang tersendiri termasuklah saya. Kehebatannya juga cukup untuk membuatkan saya melanggan salah satu majalah tersebut selama setahun!

Ketika itulah terbit lagi sebuah majalah yang kononnya bakal memberi saingan dan memberi peluang pelukis komik dan memberi platform baru kepada penggiat komik, khususnya. Namun, langit tidak selalunya cerah. Ku sangka panas hingga kepetang, rupanya hujan ditengahari. Itulah pepatah yang saya rasa sesuai untuk menggambarkan situasi sebenar keadaan majalah tersebut.

Dengan semangat sebagai majalah yang baru, berjanji memberi peluang kepada penggiat komik dan mungkin menyaingi 2 majalah yang saya sebut terlebih dahulu tadi. Malangnya, indah khabar dari rupa, segalanya tidak berlaku malah majalah tersebut terpaksa 'menumpang' majalah humor 'ketinggalan zaman' mereka. Banyak pihak kecewa kerana mereka menyangka majalah itu diterbitkan secara mempunyai 2 muka hadapan, malangnya hanya muka hadapan diluar namun, permulaan majalah tersebut adalah selepas majalah humor itu.

Konsep begini bukan sahaja mencacatkan majalah itu malah membuatkan ramai pembacanya lari meninggalkan majalah itu terkontang-konting seorang diri. Entah bila majalah ini akan dapat bertahan.

Untuk menyaingi kedua majalah yang mendapat tempat di hati pembaca, majalah malang ini perlu mencari formula baru. Kenapa perlu digunapakai idea dan formula yang lama sedangkan kita ingin menyaingi mereka? Kenapa perlu 'membontoti' idea mereka? Kenapa tidak diguna idea lama tetapi semakin dilupakan pembaca? Sebagai contoh, saya mengambil majalah Salina yang amat popular di kalangan pembaca wanita sekitar 80-an dahulu.

Cuba tengok konsep mereka yang cukup hebat itu. Bagaimana mereka berjaya mencuri tumpuan kaum hawa untuk mengikuti setiap keluaran mereka secara bulanaan? Tidakkah kita terfikir sekarang ini, zaman ini, millenium ini, kaum hawalah merupakan kaum yang paling banyak membeli? Adakah kita lupa berapa ramai kaun hawa di Malaysia ini sahaja?

Kenapa perlu menekankan kepada pembaca yang sememangnya sudah dan sedang mengikuti kedua majalah yang popular itu? Kenapa tidak ditekankan kepada kaum hawa yang mana jumlah mereka melebihi jumlah lelaki di Malaysia ini dengan nisbah 1:8?

Disitulah kita silap dalam mencerna idea atau formula untuk sesatu majalah baru. Sedangkan syarikat itu sendiri menerbitkan majalah untuk kaum hawa yang mana begitu mendapat sambutan. Kenapa tidak ditekankan disitu?

Jikalau hendak diberi contoh, banyak majalah menggunakan konsep yang sama seperti 2000A.D dan sebagainya. Mereka mempunyai 1 cerita yang boleh dikatakan sebagai 'sauh' utama majalah mereka. Disitulah terletaknya kehebatan majalah 2000A.D ini. Cuba fikirkan sudah berapa lama mereka bertahan?

Oleh itu sebelum terlambat atau sebelum kena 'tutup kedai', baliklah ke pangkal jalan.